22 April 2010

Pantau mesin jual permainan ancam keselamatan kanak-kanak


Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa terdapat barang permainan yang boleh mengundang bahaya tanpa ciri keselamatan kerana barang permainan yang rendah mutu reka bentuknya boleh menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak.

Barang permainan mempunyai pelbagai fungsi iaitu mendidik, membangkitkan imaginasi dan dalam sesetengah keadaan meningkatkan ketangkasan kanak-kanak.

Malah ada sesetengah barang permainan yang `memukau` serta dijadikan koleksi bukan sahaja oleh kanak-kanak tetapi juga orang dewasa. Antara contoh barang permainan yang menjadi barang koleksi ialah anak patung barbie dan watak karakter kartun `superhero` seperti, spiderman dan batman.

Tinjauan Komunitikini di salah sebuah premis kedai runcit di kawasan perumahan mendapati ada pengeluar barangan permainan mengabaikan aspek keselamatan dengan menawarkan perkhidmatan mesin penjual (vending machine) alat mainan `pisau plastik tiruan` kepada pengusaha kedai runcit untuk kepada masyarakat di Lembah Klang .

Di dalam mesin penjual tersedia kapsul berbentuk bola mempunyai pisau lipatan diperbuat daripada plastik berukuran kira-kira 9 sentimeter panjang boleh diperolehi dengan harga 50 sen diperagakan di hadapan pintu masuk kedai di mana alat permainan tersebut boleh diklasifikasikan merbahaya kepada kanak-kanak.

Walaupun tertera notis peringatan di bahagian luar kotak mesin penjual, perkataan itu dicetak dalam saiz huruf yang kecil menyukarkan pandangan pengguna apatah lagi kanak-kanak berusia dalam
 lingkungan 8 tahun ke bawah langsung tidak mengambil kisah amaran yang diberikan.

Kanak-kanak dengan mudah boleh mendapatkan permainan tersebut tanpa pengawasan daripada pengusaha kedai sekali gus boleh menyebabkan berlakunya kejadian tidak diingini.

Biasanya pengeluar ada menyatakan kesesuaian usia untuk alat mainan. Namun, perlu diingat pemikiran anak berbeza dengan orang dewasa dan kadang kala mereka kreatif serta inovatif yang mana mereka bermain berbeza dengan cara alat mainan itu dicipta.

Dikhuatiri sekiranya alat permainan ini dijual secara berleluasa, kanak-kanak akan menggunakan alat permainan ini untuk bermain sekali gus boleh mendatangkan kecederaan.

Tidak mustahil kanak-kanak ini akan menggunakan alat permainan ini untuk memeras ugut rakan-rakan sebaya dengan mereka.

Sehubungan itu, barangan mainan yang tidak selamat perlu dikeluarkan dari pasaran dengan segera dan produk mainan baru perlu diteliti dengan lebih ketat sebelum dibenarkan untuk dijual.

Pihak berwajib perlu memantau mesin penjual barang permainan di premis kedai runcit dianggap merbahaya kepada kanak-kanak.

Serta memperhebatkan usaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan industri, pengimport, pemborong supaya patuh dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Fakta mengenai barang permainan merbahaya kepada kanak-kanak

Pada keseluruhannya, pasaran barangan mainan di negara ini dipenuhi dengan barangan mainan dari semua tempat tanpa standard keselamatan atau keperluan keselamatan dan sebagainya. Sesetengah barangan mainan ini mendedahkan bahaya kepada kanak-kanak seperti:

* Mempunyai tali panjang yang boleh menyebabkan kanak-kanak terjerut.
* Mempunyai hujung yang tajam dan boleh menyebabkan luka atau tertikam.
* Dipasarkan bersama dengan produk lain seperti makanan atau buku. Mainan ini sering tidak mempunyai  sebarang amaran keselamatan, arahan penggunaan atau saranan usia.
* Mudah ditelan, menyebabkan tercekik.
* Mengandungi bahan berbahaya seperti logam berat, plumbum yang terdapat dalam cat.
* Alat mainan yang berbunyi bising juga dianggap berbahaya.
Catat Ulasan