29 Mac 2012

Nasi, sup perut, daging bakar!




Genap 20 hari rombongan lawatan Media Selangor anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke negeri Kelantan atau lebih sinonim dengan gelaran Cik Siti Wan Kembang berlalu.

Sudah lama aku tidak menaiki bas ekspres, perjalanan dari Shah Alam ke 'Kota Serambi Mekah'  sangat panjang. 8 jam rasanya tempoh perjalanan, lalui jalan berliku, kiri dan kanan hutan tebal mengingatkan aku pengalaman sewaktu zaman kecil dahulu.

Setiap kali cuti sekolah, aku akan pulang ke kampung halaman tempat kelahiran yang  terletak  di 'Stesen Bas Jalan Hamzah'  di mana arwah atuk dan nenek menetap di sana.

Aku masih ingat, pada ketika itu mak akan menemani aku sampai ke stesen bas terletak di Larkin Johor Bahru dan aku akan menaiki bas 'Bumi' ekpress dan 'Naila' berseorangan tanpa ditemani sesiapa dan kadang-kadang bersama abang.

Perasaan masa tu cuak gile, hanya Allah swt yang tahu.

Tetapi arwah mak pesan kat aku "jangan takut, orang lelaki kena berdikari, dekli jangan keluar bila bas berhenti rehat kerana risau silap naik bas" membuatkan aku kembali tenang.

Mungkin secara kebetulan, sampai sahaja di Kelantan aku tak perlu risau kerana arwah atuk dan nenek terus menyambut aku kerana rumah mereka terletak tidak jauh dari stesen bas kira-kira 50 meter.

Selang beberapa hari, aku akan menolong mereka meniaga di deretan kedai Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) terletak di pusat bandar Kota Bharu kerana arwah atuk dan nenek mempunyai kedai makan diberi nama 'Suliza', dahulunya mereka hanya berniaga warung kecil menolak menggunakan roda.

Menu yang paling best sekali 'nasi, sup perut dan daging bakar', bila waktu tengah hari penuh orang kerja kerajaan singgah. semua pesan makanan yang sama. Malah, memang aku akui sup perut dan daging bakar memang sedap!.

Bila ada kesempatan terluang aku akan tolong buat air dan banyak juga bahasa kelate yang aku belajar dan konfius pada waktu itu antaranya 'samah', 'teh o beng', 'nes o beng' dan pelbagai lagi. Haha! Setiap kali cuti sekolah jek, aku pulang ke Kota Bharu tolong mereka dan paling seronoknya bila arwah atuk bagi upah untuk penggal sekolah akan datang. eheheh.

Semuanya sudah berlalu, lebih 8 tahun aku tak menjejakkan kaki ke deretan kedai MPKB sejak kedua-dua arwah atuk dan  nenek meninggal dunia setelah terbabit dalam satu kemalangan ngeri semasa hari raya korban beberapa tahun lalu.

Ketika itu aku mendapat khabar berita mereka dalam perjalanan pulang ingin mengagih-agihkan daging korban untuk diberikan kepada saudara dan jiran di mana kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Aku bajet bila sampai di Kota Bharu bersama rombongan media Selangor, dapat la aku merasa nasi, sup perut dan daging bakar di kedai Suliza diusahakan oleh pakcik angkat aku, agak malang apabila  aku diberitahu salah seorang peniaga di pasar besar Siti Kadijah bahawa deretan kedai MPKB telah dirobohkan beberapa bulan lalu.

Memandangkan masa tidak mencukupi dan jadual yang padat, aku tak sempat nak pergi survey dan recce, Tidak mengapa, bila ada kesempatan kelak, aku akan pulang semula ke Kelantan dan mencari kedai makan Suliza!!


*Al-Fatihah buat allahyarham Musa Ahmad dan allahyarhamah Kalsom Jusoh