Memaparkan catatan dengan label True story. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label True story. Papar semua catatan

12 Februari 2013

Idea: Cerita tak berapa pendek



Romper Stomper


Pengaruh budaya Skinhead dan Punks di Malaysia

Mula menular di Johor Bahru pada 1995 daripada negara jiran Singapura.

Kaset kumpulan The Exploited, The Ramones, The Clash dan banyak lagi dijual sekitar RM3 - RM5 'dubbing' manakala Fanzine seperti "Sufferage" dijual RM2 macam tu lah * maaf tak berapa ingat harga*

Abang masa tu tingkatan empat  kerja 'partime' di Sentosa jb kebetulan ada sebuah kedai Habib menjual barangan kaset, T-shirt 'rare' underground hingga ke barang skater dan kenal dengan sorang mamat selalu keluar masuk singapura.

Pertama kali dengar lagu punk kaset kat radio, kemudiannya kaset skins, lirik dan maksud mendalam sanggup cari kamus untuk tafsir.

Lebih kepada kehidupan realiti golongan ditindas.

Masa tu zaman video tape, ada member bawa judul filem Romper Stomper - mula dari situ terus terjebak dengan budaya skinheads bersama dua orang rakan baik zaman sekolah.

Malam tu jugak kita orang dengan pantas pinjam mesin rambut member terus potong botak tapak satu. Kahkahkah.

Sampai satu tahap idea dan kreativiti sampai, selamber aku guna 'liquid paper' lukis lambang bendera England kat beg sekolah.

Masa tu budak sekolah dressing pakai seluar bootcut, kasut Converse ikat tali cerut. Stail aku lain sket stok seluar senteng, kasut Coleman belakang ada bendera. baju sekolah tahun lepas stok takde kocek depan. Haha.

Masa pergi sukan sekolah kat stadium larkin dressing skins, lepak dalam stadium ada sorang budak brader nama dia Aji Punk jugak la tegur kenapa pakai tali kasut Docmart putih kerana ada kod tertentu. Tali  kasut putih pengaruh Nazi 'White Power'. lebih baik pakai tali merah atau hitam.

Bagitau yang baru join tak pernah ikut mana-mana kumpulan, dia ajak turun shopping kompleks Plaza Pelangi sesi berkenalan dengan budak punk.

Masa nak balik Aji dengan geng aku tengah berjalan pulang waktu itu kena gegar dengan budak flat yang anti Skinheads.

Mula-mula turun sorang budak  kat situ cari pasal, lepas budak tu blah tiba-tiba ramai keluar daripada celah flat aku perasaan ikut dari belakang lebih 7 orang siap dengan kayu bagai.

Kita org berjalan dengan laju, Aji suruh ikut laluan ke pasar awam Larkin pasal kat situ ada peniaga  ikan dan daging apa-apa hal boleh capai pisau ke parang untuk mempertahankan diri.

Kita orang lalu celah penjual ikan dan daging, tengok belakang budak flat masih ikut. tembus ke terminal bas larkin terus naik bas menuju ke Masai/ Pasir Gudang.

Ada dua orang budak flat naik atas bas lepas itu kita orang bangun daripada tempat duduk dorang takut turun. bas jenis tingkap bukak salah seorang geng bengang ludah budak sambil tunjuk isyarat 'fuck' kat dorang. Puas hati. Berdekah-dekah gelak dalam bas.

P/S: Antara salah satu  pengalaman 'warna warni' dalam kehidupan. Apa-apa pun sesiapa yang rasa nak beri idea atau pandangan sedapkan cerita pendek yang tak siap ni amat dialu-alukan. :D

5EA1 - SMPJ - 1998 









29 Mac 2012

Nasi, sup perut, daging bakar!




Genap 20 hari rombongan lawatan Media Selangor anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke negeri Kelantan atau lebih sinonim dengan gelaran Cik Siti Wan Kembang berlalu.

Sudah lama aku tidak menaiki bas ekspres, perjalanan dari Shah Alam ke 'Kota Serambi Mekah'  sangat panjang. 8 jam rasanya tempoh perjalanan, lalui jalan berliku, kiri dan kanan hutan tebal mengingatkan aku pengalaman sewaktu zaman kecil dahulu.

Setiap kali cuti sekolah, aku akan pulang ke kampung halaman tempat kelahiran yang  terletak  di 'Stesen Bas Jalan Hamzah'  di mana arwah atuk dan nenek menetap di sana.

Aku masih ingat, pada ketika itu mak akan menemani aku sampai ke stesen bas terletak di Larkin Johor Bahru dan aku akan menaiki bas 'Bumi' ekpress dan 'Naila' berseorangan tanpa ditemani sesiapa dan kadang-kadang bersama abang.

Perasaan masa tu cuak gile, hanya Allah swt yang tahu.

Tetapi arwah mak pesan kat aku "jangan takut, orang lelaki kena berdikari, dekli jangan keluar bila bas berhenti rehat kerana risau silap naik bas" membuatkan aku kembali tenang.

Mungkin secara kebetulan, sampai sahaja di Kelantan aku tak perlu risau kerana arwah atuk dan nenek terus menyambut aku kerana rumah mereka terletak tidak jauh dari stesen bas kira-kira 50 meter.

Selang beberapa hari, aku akan menolong mereka meniaga di deretan kedai Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) terletak di pusat bandar Kota Bharu kerana arwah atuk dan nenek mempunyai kedai makan diberi nama 'Suliza', dahulunya mereka hanya berniaga warung kecil menolak menggunakan roda.

Menu yang paling best sekali 'nasi, sup perut dan daging bakar', bila waktu tengah hari penuh orang kerja kerajaan singgah. semua pesan makanan yang sama. Malah, memang aku akui sup perut dan daging bakar memang sedap!.

Bila ada kesempatan terluang aku akan tolong buat air dan banyak juga bahasa kelate yang aku belajar dan konfius pada waktu itu antaranya 'samah', 'teh o beng', 'nes o beng' dan pelbagai lagi. Haha! Setiap kali cuti sekolah jek, aku pulang ke Kota Bharu tolong mereka dan paling seronoknya bila arwah atuk bagi upah untuk penggal sekolah akan datang. eheheh.

Semuanya sudah berlalu, lebih 8 tahun aku tak menjejakkan kaki ke deretan kedai MPKB sejak kedua-dua arwah atuk dan  nenek meninggal dunia setelah terbabit dalam satu kemalangan ngeri semasa hari raya korban beberapa tahun lalu.

Ketika itu aku mendapat khabar berita mereka dalam perjalanan pulang ingin mengagih-agihkan daging korban untuk diberikan kepada saudara dan jiran di mana kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Aku bajet bila sampai di Kota Bharu bersama rombongan media Selangor, dapat la aku merasa nasi, sup perut dan daging bakar di kedai Suliza diusahakan oleh pakcik angkat aku, agak malang apabila  aku diberitahu salah seorang peniaga di pasar besar Siti Kadijah bahawa deretan kedai MPKB telah dirobohkan beberapa bulan lalu.

Memandangkan masa tidak mencukupi dan jadual yang padat, aku tak sempat nak pergi survey dan recce, Tidak mengapa, bila ada kesempatan kelak, aku akan pulang semula ke Kelantan dan mencari kedai makan Suliza!!


*Al-Fatihah buat allahyarham Musa Ahmad dan allahyarhamah Kalsom Jusoh









30 Januari 2012

'Nasi lemak, kuih karipap'


Masih terngiang-ngiang  dalam memori beberapa baris patah perkataan 'nasi lemak dan kuih karipap' yang dipekik dan dilaung berulang-ulang kali ketika berusia dalam lingkungan 8  hingga 12 tahun.

Bila menerima berita perkhabaran ayahku jatuh sakit dari tempat kerjanya,  ayah terus dibawa balik ke rumah, aku melihat depan mataku ayah dipapah oleh rakan sekerjanya.

Aku sempat mencuri dengar perbualan mereka, “sebelah badan lumpuh kena penyakit strok” ujar rakan ayah kepada mak.

Aku melihat mak menitiskan air matanya tetapi tidak lama,  seketika itu mak lantas cuba menenangkan hati dan jiwanya, bila saja melihat kami yang masih kecil hanya terkebil-kebil memerhatikan keadaan yang berlaku ketika itu.

Pada waktu dan saat itu, aku menerima sebarang ketentuan diberikan oleh NYA   tanpa sebarang persoalan, mengerti dan memahami situasi berlaku.

Berbulan ayah terlantar di rumah,  duit simpanan semakin berkurangan, jiran terdekat membantu sekadar termampu, tiada bantuan daripada NGO, agensi swasta dan kerajaan.

Susulan itu, mak memperolehi idea menjual kuih muih dan nasi lemak di sebelah pagi dan petang  pada mulanya aktiviti perniagaan kecil-kecilan diadakan setiap hujung minggu bagi menampung kos sara hidup kami sekeluarga.

Selepas makan tengahari, mak menyuarakan hasratnya dan meminta bantuan kami menjual kuih muih, aku memandang abang  dan  terus kami menganggukkan kepala tanda setuju  membantu meringankan bebanan keluarga.

Pada usia masih mentah,  tanpa mak perlu memberikan penjelasan panjang,  kami  seolah-olah memperolehi hidayah dan mengerti  tanggungjawab yang perlu dipikul  dan digalas, memandangkan kudrat mak tidak lah  sekuat  mana  dan bergantung harap kepada kami  adik beradik lelaki.

Bermula dari situ, menjadi titik tolak  kami sekeluarga hidup berdikari, seawal jam 4 pagi mak akan bangun memasak dan  menyediakan juadah kuih muih   sehingga 6.30 pagi.

Bila mak dah masukkan semua kuih muih dalam bakul, giliran mak dah selesai dan masa untuk dia berehat.  

Tiba giliran aku pergi meniaga kuih muih sambil membawa bakul,  pada mulanya aku kelihatan panik, kekok dan tidak yakin kerana tidak tahu cara untuk memulakannya. 

Lantas mak memberikan kata-kata nasihat dan dorongan kepada aku.

Dekli pergi setiap lorong rumah ke rumah dan laung kuih karipap, kuih gendang kasturi, onde-onde , dengar sini mak nak cakap,  buat apa kita nak malu atau segan,  ingat...ita cari rezeki yang halal.

Macam ni lah, Dekli cuba dulu jual tengok ada orang nak beli tak. Insyallah ada, rezeki kita tak ke mana,  mak tau Dekli boleh buat,” katanya sambil tersenyum.

Semangat aku terus membara mengangkat bakul kuih, namun begitu baru beberapa langkah minda aku  kembali takut dan berpatah balik, kemudiannya dipujuk oleh mak cuba menyakinkan aku.

Pada mulanya janggal, lama kelamaan seronok,  perasaan segan dan kekok hilang, malah ada kawan-kawan sebaya masa kecil dulu ikut aku pergi jual kuih muih.  Siap tolong 'promote' pada rakan-rakan lagi. Ehehehe.

Sampai sekarang aku tertanya-tanya kenapa dorang ikut aku,  Pada pendapat aku, mungkin dorang takde aktiviti menarik  pada masa tu dan tengok  aktiviti meniaga yang aku buat 'best' jek. Aku  'respect'  pada dorang kerana tak segan dan malu berkawan dengan aku.

Saat  tidak dapat aku lupakan, pernah tak sampai 30 minit kuih muih habis dijual,  bila balik dengan bakul kosong,  tengok muka mak terkejut tak percaya kuih habis cepat, bila serah wang hasil jualan, nampak senyuman kepuasan tergambar pada wajah mak.

Sebagai ganjaran, kadang-kadang mak bagi upah  50 sen hingga seringgit bergantung kepada larisnya juadah kuih muih, walaupun aku tak minta, mak tahu macam mana nak hargai anak-anaknya.

Walaupun ayah dan mak sudah 'pergi' jauh di atas sana, atas hasil titik peluh berkat itu berjaya membesarkan kami lima adik beradik sehingga masing-masing tamat persekolahan.  

*Alfatihah Allahyarham Esa Ismail dan Allahyarhamah Zawiyah Abd Rahman

Hayati maksud lirik ini, mungkin dapat memberi serba sedikit pencerahan kepada diri kita khususnya yang masih mempunyai ibu bapa. Hargai mereka selagi masih ada. :))