14 Julai 2010

Diperdaya pengusaha kenderaan terpakai, suami isteri tuntut pembelaan

Hasrat pasangan suami isteri baru setahun mendirikan rumah tangga ingin membeli kereta buat pertama kalinya tidak kesampaian setelah terperdaya dengan janji manis pengusaha menjual kenderaan terpakai di Klang.

Suami mangsa, Nuril Azrin Fadzil, 33, berkata isterinya telah membayar deposit wang pendahuluan  RM2,000 tempahan sebuah kereta Myvi  berwarna putih  kepada wakil jurujual tersebut semasa mengunjungi premis tersebut pada 6 Oktober 2009.

P15-06-10_22.00[1]

Beliau memberitahu, wakil jurujual itu menjanjikan kepada isterinya selain bayaran pinjaman kereta rendah,  tawaran proses pertukaran hak milik kenderaan hanya mengambil masa 2 minggu.

“Peringkat awal pembayaran, wakil jurujual turut menyatakan akan memulangkan deposit wang pendahuluan  sekiranya pinjaman penuh berjumlah RM42,000 tidak diluluskan.

"Tetapi selepas tempoh dua minggu, jurujual menghubungi kami dan menyatakan hanya pinjaman berjumlah RM34,000 diluluskan,”ujarnya.

Menurutnya atas alasan bagi menampung baki pinjaman , beliau diminta  untuk menambah wang  deposit berkurangan.

Katanya, beliau mengesyaki wujud unsur penipuan apabila mendapati jurujual memaksa beliau mengikut segala syarat tertera dibelakang resit ditandatangani sebelum ini.

"Malah,ketika  saya ingin meminta deposit wang pendahuluan wakil jurujual enggan memulangkan seperti dijanjikan serta bertindak mengugut kami,"jelasnya.

Namun, beliau  tidak berpuas hati dengan tindakan pengusaha terbabit kemudiannya membuat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna,  tetapi hanya sia-sia.

P05-07-10_18.14

Jelasnya, semasa mengikuti perbicaraan, mahkamah tribunal memutuskan bahawa syarikat itu dikehendaki membayar balik RM1,000 kepada saya dalam masa 14 hari dari tarikh penyerahan `award` pada 12 Januari lalu.

"Sehingga kini tiada sebarang pembayaran dilakukan oleh syarikat tersebut.

“Di mana hak saya sebagai pengguna sekiranya tiada tindakan diambil keatas syarikat tersebut, saya tidak mahu ramai lagi masyarakat diluar sana menjadi mangsa penipuan,"kesalnya.

P05-07-10_18.17

Nuril berkata, semasa membuat laporan polis di ibu pejabat Kontinjen daerah Klang, beliau mendapati sebanyak 17 kes aduan penipuan melibatkan pengusaha sama  dilaporkan.

“Selepas menemui polis dan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut, saya mendapati terdapat kenyataan bercanggah daripada polis dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) berhubung status lesen perniagaan pengusaha tersebut,”ujarnya.

Syarat lesen kenderaan terpakai dan lesen perniagaan

Menurut Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, pihak polis melakukan siasatan ke atas premis tersebut mendapati sebanyak 17 berkaitan kes penipuan pada 2007 sehingga 2009 dilaporkan.

Menurutnya sebanyak 8 kes dibuka dibawah Seksyen 430 (KK) Kes Penipuan ke atas pengusaha syarikat.

“Cuma satu kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya tetapi tiada bukti kukuh untuk membawa kes ini ke mahkamah.

“Sebelum ini polis pernah mengambil tindakan mahkamah ke atas pengusaha kerana mengambil pekerja asing tanpa menggunakan permit sah,”katanya.

Mohamad berkata, mana-mana pengusaha kenderaan terpakai ingin menjalankan aktiviti perniagaan wajib mendapatkan lesen daripada polis terlebih dahulu.

Katanya, syarat ini bagi memastikan kenderaan dijual sah dari segi undang-undang  tidak digunakan untuk jenayah curi atau sebagainya

“Pengusaha perlu mengemukakan lesen kenderaan terpakai diluluskan polis kepada pihak berkuasa tempatan sebelum memohon lesen perniagaan kebenaran untuk mendapatkan tapak,”jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan rekod,  syarikat ini hanya mempunyai lesen berniaga daripada pihak berkuasa tempatan.

“Setakat ini, kami tidak pernah meluluskan atau mengeluarkan lesen kereta terpakai kepada pengusaha kerana tidak mempunyai syarat cukup.

“Pengusaha ini juga pernah beberapa kali dikenakan saman kerana tidak memiliki lesen meniaga barang lusuh dan terpakai,”ujarnya.

Tiada aduan, penyalahgunaan lesen

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlesenan dan Penjaja, MPK, Azhar Samsudin berkata setelah semakan dibuat didapati premis tersebut mempunyai lesen perniagaan sejak tahun 2005.

P05-07-10_18.13

Menurut kenyataan itu, surat jawapan dihantar kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu pada 8 Mac lalu.

“Dalam surat itu menyatakan sepanjang tempoh tersebut, majlis tidak pernah mendapat sebarang aduan berhubung penyalahgunaan lesen atau apa-apa perlanggaran syarat terhadap pengeluaran lesen tersebut,”tambahnya.

Katanya, MPK hanya mengeluarkan lesen premis sahaja tertakluk kepada syarat-syarat pengeluaran lesen perniagaan, tred dan perindustrian MPK 2007.

“MPK tidak bertanggungjawab terhadap lain-lain perkara yang berada di luar bidang kuasa dan kes penipuan ini dicadangkan untuk dirujuk kepada pihak polis atau mana-mana agensi,”kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: